Seperti yang kita tahu, secara ringkasnya pecah bahagian tanah atau pecah geran ialah proses memecahkan satu lot tanah kepada lot yang lebih kecil mengikut keluasan yang didaftarkan di dalam geran. Tanah yang dipegang oleh beberapa penama dan ingin dipecah bahagi kepada setiap penama yang ada untuk mendapatkan geran individu. Bagi yang masih tidak jelas mengenai pecah bahagian tanah, anda boleh lihat perkongsian Abang Bob yang lepas mengenai pecah bahagian tanah.
Tahukah anda terdapat banyak kebaikan dan keburukan pecah bahagian tanah di Pahang, tapi kali ini Abang Bob nak kongsikan kepada anda semua kebaikan dan keburukan pecah bahagian tanah di Pahang dalam 4 konteks. Pertama ialah dalam konteks pengambilan tanah, yang kedua ialah cukai tanah, bantuan kerajaan dan pindahmilik tanah. Jom kita ketahui satu per satu!
KONTEKS 1: KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PECAH BAHAGIAN TANAH DI PAHANG (PENGAMBILAN TANAH)
Isu yang timbul dalam konteks pengambilan tanah adalah apabila pihak kerajaan ingin membuat pengambilan atas tanah lot anda bersama. Jadi, bayaran pampasan hendaklah dibayar dengan mengikut syer di dalam geran tanah tersebut. Maka, di sini bermulalah isu pengambilan tanah yang terjadi apabila anda masih dalam geran kongsi yang ada 3 penama atau lebih dan bayaran pampasan akan diberikan kepada syer yang paling banyak walaupun pengambilan tanah tersebut terkena pada tuan tanah yang lain. Secara tidak langsung, keburukan apabila anda tidak membuat pecah bahagian tanah tersebut berlakulah pergaduhan antara adik-beradik mahupun penama bersama di dalam geran. Hal ini kerana, tidak puas hati dengan pampasan yang diterima. Jangan pandang rendah isu sebegini. Kerana tanah, putus hubungan kekeluargaan. Kerana tanah, kawan jadi lawan. Jadi apakah tindakan anda untuk mengelakkan perkara ini terjadi?
Sudah tentu pecah bahagian tanah adalah penyelesaianya! Kebaikan jika anda membuat pecah bahagian tanah setiap penama akan mendapat geran masing-masing. Sempadan tanah juga diketahui dengan lebih jelas. Apabila pengambilan tanah berlaku, bayaran pampasan akan diberi sepenuhnya kepada tuan tanah yang terlibat dan tidak melibatkan tuan tanah yang lain. Justeru, tidak akan ada isu yang timbul.
KONTEKS 2: KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PECAH BAHAGIAN TANAH DI PAHANG (CUKAI TANAH)
Seperti mana yang kita tahu, cukai tanah merupakan cukai tahunan yang dikenakan ke atas hartanah persendirian di Malaysia dan cukai tanah ini perlu dibayar. Rata-rata masyarakat kita pandang remeh tentang cukai tanah. Konsepnya sama sahaja seperti insurans dan road tax kereta. Walaupun kereta itu anda beli menggunakan duit sendiri namun cukai tetap perlu dibayar. Begitu juga dengan tanah yang kita duduk itu adalah tanah kerajaan.
Senario yang sering berlaku ialah apabila geran berkongsi, tuan tanah yang lain tidak membayar cukai tanah dan hanya bergantung harap kepada seorang penama sahaja di dalam geran tersebut untuk membayar cukai tanah mereka. Apabila berlakunya perkara seperti ini, ia menjadi tidak adil untuk tuan tanah yang sentiasa membayar cukai tanah tersebut. Sikap tidak bertanggungjawab sebegini perlu dicegah sebelum berlaku masalah di kemudian hari. Ini lah antara keburukan apabila anda tidak membuat pecah bahagian tanah. Apabila anda berkongsi geran dengan beberapa orang tuan tanah yang lain, anda akan mengalami masalah dalam membayar cukai tanah.
Namun begitu, kebaikan jika anda membuat pecah bahagian tanah secara tidak langsung anda akan memperoleh geran masing-masing. Malah, cukai tanah juga perlu dibayar sendiri. Hal ini secara tidak langsung masing-masing perlu bertanggungjawab untuk membayar cukai tanah sendiri. Bagi mereka yang tidak membayar cukai tanah tindakan undang-undang akan dikenakan. Tanah juga boleh dirampas sekiranya tidak melakukan bayaran cukai tanah pada tempoh yang ditetapkan. Jika tanah dirampas, diri sendiri tanggung rugi.
KONTEKS 3: KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PECAH BAHAGIAN TANAH DI PAHANG (BANTUAN KERAJAAN)
Siapa sahaja yang tidak suka terima bantuan kerajaan kan? Angan-angan nak bina rumah sendiri. Tanah dah ada, tapi tiada modal yang banyak untuk membina rumah sendiri. Jangan risau, kerajaan boleh membantu anda untuk membina rumah sendiri dengan adanya program Rumah Mesra Rakyat (RMR). Bercerita tentang Rumah Mesra Rakyat (RMR), tahukah anda antara syarat yang dikenakan untuk memohon bantuan ini adalah tanah atau tapak mestilah bersesuaian dan bebas dari gadaian/bebanan ke atasnya.
Senario yang sering terjadi apabila anda mempunyai tanah geran berkongsi. Tiada sempadan tanah yang jelas diketahui. Malah, sekiranya anda ingin membuat permohonan bantuan tersebut perlu persetujuan setiap pemilik tanah terlebih dahulu. Hal ini, menyebabkan timbul masalah di mana pemilik tanah yang lain tidak bersetuju kerana mereka khuatir jika rumah yang akan dibina tersebut memakan tanah mereka juga. Sekiranya tiada persetujuan, maka sukar untuk permohonan anda diluluskan.
Kebaikan apabila anda membuat pecah bahagian tanah, sudah pasti anda memperoleh geran tanah sendiri. Sempadan tanah anda juga diketahui dan tiada lagi ragu-ragu dengan pemilik tanah yang lain. Anda juga boleh membuat permohonan bantuan Rumah Mesra Rakyat (RMR) tanpa perlu melibatkan pemilik tanah yang lain. Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, mudah untuk anda merancang membina rumah sendiri. Daripada angan-angan menjadi kenyataan bukan.
KONTEKS 4: KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PECAH BAHAGIAN TANAH DI PAHANG (PINDAHMILIK TANAH)
Seterusnya, kebaikan sekiranya anda membuat pecah bahagian tanah secara tidak langsung mudah untuk urusan pindahmilik tanah. Mengapa mudah?
Semestinya kerana tanah tersebut adalah tanah kepunyaan anda sendiri dan tidak berkongsi dengan pemilik tanah yang lain. Malah anda juga boleh melakukan apa-apa sahaja terhadap tanah tersebut tanpa perlu meminta persetujuan mana-mana pemilik tanah. Mudahkan, apabila mengurus tanah sendiri tanpa melibatkan orang lain. Di samping itu, anda juga boleh mendapat keuntungan yang berganda dengan jual, beli atau sewa tanah tersebut.
Namun sebaliknya jika anda tidak membuat pecah bahagian tanah jika ramai penama dalam satu geran, sukar untuk anda melakukan segala urusan pindahmilik tanah. Anda perlu mendapatkan persetujuan dari tuan tanah yang lain untuk buat pindahmilik. Jika ada tuan tanah yang tidak bersetuju, ia akan menjadi semakin sukar. Seterusnya kebaikan pecah bahagian dalam konteks yang terakhir ini adalah mudah untuk anda melakukan apa saja di atas tanah anda. Tiada isu kalau anda nak jual tanah tersebut, nak sewakan, nak gadai atau sebagainya. Yang penting anda sudah melakukan pecah bahagian dan mendapatkan geran individu.
Manfaat yang tiada tandingan. Bukan sahaja memudahkan anda pada masa ini, tetapi mudah untuk keturunan anda juga pada masa akan datang.
Pecah bahagian tanah sangat penting untuk mendapatkan geran tanah individu. Jika anda tidak melakukan pecah bahagian dari awal, agak sukar jika salah seorang tuan tanah meninggal dunia. Jadi, dinasihatkan kepada semua rakyat yang masih mempunyai geran kongsi untuk mencari jurukur tanah berlesen bagi membantu membuat pecah bahagian tanah secepatnya. Semoga perkongsian Abang Bob kali ini memberi manfaat.
‘Masalah anda, solusi kami, Abang Bob ada di sini.’
Untuk video penuh, jom saksikan perkongsian Abang Bob…
Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan khidmat nasihat daripada kami secara percuma! Klik di sini >>> http://beacons.ai/jurukurmahabob